Monday, 15 April 2013

Kisah 'Pak Cik' dan Teori Superb Beliau



SAYA hendak sampaikan satu cerita berkenaan seorang lelaki yang dianggap ‘tak betul’ yang telah menghadiri ceramah yang saya sampaikan di USM Tronoh, 10 tahun yang lalu pada bulan Julai 1999.

Semasa seminar itu saya menyampaikan ceramah bertajuk Pelancongan Angkasa – dan percaya saya adalah orang pertama yang menyampaikan ceramah mengenai pelancongan angkasa di Malaysia.

Ceramah saya itu dihadiri oleh seorang lelaki (yang tidak diundang dalam seminar itu), yang berada di situ bersama-sama pelajar Sekolah Kejuruteraan Aeroangkasa USM dan beberapa orang pensyarah mereka serta pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 dan 5 di sekitar Ipoh iaitu seramai 500 orang.

Lelaki ini memang dikenali ramai oleh orang Ipoh kerana sering berada di halaman masjid pada hari Jumaat dan dia akan berceramah mengenai bidang matematik dan fizik. Dia memakai jubah dan serban dan meninggikan suara ketika berceramah serta kerap memberikan komen terhadap pembelajaran matematik dan fizik semasa.

Dia turut menyampaikan ceramahnya di pasar barang terpakai di Ipoh. Malah saya pernah terserempak dengannya di Seksyen 2 Shah Alam pada suatu hari Jumaat ketika dia sedang mencetak nota-nota ceramahnya – mungkin untuk ceramahnya di masjid di Shah Alam.

Ceramahnya kerap menyentuh mengenai space travel. Saya sendiri pernah beberapa kali mendengar ceramahnya. Tetapi, disebabkan cara penyampaian ceramahnya, dia dianggap sebagai ‘tidak betul’ oleh masyarakat.

Saya memang menyedari kehadirannya ketika saya berceramah di USM pada masa itu.

Ketika saya minum dan makan bersama beberapa orang pegawai dan pensyarah pada waktu rehat, seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan melayan sebarang pertanyaan dari ‘orang tak betul’ tu. Saya tanya, kenapa, dan dia jelaskan bahawa ‘orang tak betul’ itu mempunyai kefahaman yang berbeza dari biasa terhadap konsep space travel.

Saya bertanya, apakah konsepnya, dan dia memaklumkan bahawa, ‘orang tak betul itu’ percaya bahawa cara terbaik untuk melancarkan pesawat angkasa adalah dengan menggunakan konsep kapal terbang iaitu berlepas secara mendatar sebelum terbang menegak ke angkasa!

Tapi pada hari ini, 10 tahun selepas peristiwa itu, konsep ‘orang tak betul’ inilah menjadi perhatian pereka sistem pengangkutan angkasa canggih, kerana itulah konsep pesawat angkasa (spaceplane).

Jadi saya merumuskan, ‘orang tak betul’ itu adalah antara orang Malaysia yang paling awal yang dapat memahami konsep spaceplane.

Pada hari ini, ‘orang tak betul’ itu masih lagi menyampaikan ceramahnya di pekarangan masjid pada hari Jumaat dan pasar barang terpakai pada hari Ahad di sekitar Ipoh.

STS-MC bercadang untuk memberikan beliau sedikit ‘penghargaan’ bersempena dengan Ulang Tahun Ke-10 Pelancongan Angkasa di Malaysia.

NORUL RIDZUAN
Institut Kajian Aero Angkasa (STS-MC )


4 comments:

  1. saya pun dah lama kenal lelaki ini... mula rasa pelik gak apa yang diajarkan... tetapi sedar xsedar sebenarnya cabang ilmu amatlah luas.. maka rugi bagi kita rakyat malaysia yang tidak mahu belajar dari kepakaran tempatan yang ditolak mentah2...

    ReplyDelete
  2. Saya jumpa pakcik ni setiap ahad di pasar tani mega seksyen 13 shah alam sejak 2 tahun lepas sampai la kehari ni.... Tak pernah pulak saya jumpa dia dipasar karat ipoh dlm beberapa kali saya kesana.... Ceramahnya mmg agak pelik....tapi ramai juga yg tertarik...tak pasti sama ada benar2 tertarik atau sekadar mengisi masa. Suami saya juga pernah membeli buku tulisan pakcik ni.... Apa pun pada kami dia sangat bersungguh2 dalam setiap ceramahnya...dan ada logiknya juga beberapa perkara yg disebut dlm ceramah2 itu

    ReplyDelete
  3. haritu bulan puasa pakcik ni selalu ceramah kt bazar ramadan bandar baru nilai..

    ReplyDelete
  4. Saye jumpa pak cik nie dkat bazaar ramadhan nilai..saye sgt kagum dgn ceramah beliau..

    ReplyDelete

Entri menarik :